Adalah baik jika kita memperkenalkan sesi menyikat ini kepada anak kucing terutamanya yang baru di bawa pulang atau dibela. Mulakan dengan memberikan sikat itu kepadanya, biarkan dia menghidunya dahulu. Kalau dia gigit sikat itu (biasanya anak kucing), biarkan sahaja supaya dia membiasakan dirinya dengan peralatan menyikat itu.
Secara perlahan-lahan, sikatkan kucing anda di sekitar leher dan belakang badan. Jika dia mendengus atau mencakar, cuba tenangkannya dengan bercakap dengan nada lembut. Jika perlu, mungkin anda memerlukan tali kekang untuk mendiamkannya semasa menyikat.
Melembabkan sikat dengan air (atau dilakukan selepas mandi) akan memudahkan kerja menyikat. Mulakan dari bahagian kepala menuju ke ekor (guna sikat halus/rapat), kemudian balikkan kucing untuk bahagian perut dan lipatan kaki.
Ulang pula dengan slicker brush (berus dawai besi, mata pendek) untuk membuang bulu yang sudah mati.
Untuk permulaan, tetapkan sesi menyikat ini dalam masa yang singkat tetapi berulang-ulang. Misalnya 2 atau 3 kali menyikat sehari dengan 1 minit setiap sesi dengan menggunakan sikat yang lembut. Ini semua bergantung kepada tahap toleransi kucing masing-masing. Kebiasaannya, walaupun kucing itu tidak mahu disikat, dengan latihan begini dia akan mula menikmatinya.
Anak kucing yang dilatih kebiasaannya akan lebih bertoleransi berbanding kucing dewasa. Lagipun adalah lebih senang mengendalikan 1 / 2 kilo anak kucing berbanding 2 kilo kucing dewasa. Percayalah, adalah sangat berbaloi jika anda melatihnya ketika usia masih muda.
Jika anda menghadapi keadaan yang sukar untuk menyikat, mungkin anda perlukan bantuan orang lain untuk memegangnya. Dengan memberikan upah makanan kepada kucing anda juga dapat membantu memujuknya, dan menggalakkannya supaya duduk diam semasa menyikat.
Sesetengah kucing juga suka disikat semasa makan. Makan dapat mengalihkan tumpuannya dan memberikan anda peluang untuk menyikat beberapa kali. Tapi ada juga kucing yang tidak suka diganggu semasa mereka makan, maka kita perlulah menghormati kehendaknya.
Sikat Kutu
Bagi saya, peralatan yang sangat penting adalah sikat kutu, ianya mempunyai gigi yang rapat dan halus. Kebanyakannya mempunyai pemegang yang mudah dikendalikan, dan mempunyai gigi besi. Kucing berbulu pendek dapat disikat dari kepala hingga ke ekornya dengan menggunakan sikat ini, tapi ia adalah terlalu halus jika kucing anda berbulu panjang.
Fungsi sikat kutu ini yang saya lihat adalah dua, iaitu untuk memeriksa kehadiran kutu dan untuk memeriksa keruping (penyakit kulit), kulit bersisik serta bulu gugur. Cuba sikat kucing anda menggunakan sikat ini, dan anda mungkin terkejut melihat begitu banyak bulu gugur yang terperangkap. Ia juga boleh membuang bulu yang berselirat, begitu juga dengan kutu dan daki-dakinya.
Tetapi berhati-hati ye, kerana sikat kutu ini juga boleh memutuskan bulu jika tidak dikendalikan dengan baik. Ia juga menyakitkan jika diguna pada kucing berbulu panjang, atau kucing yang mengalami matted fur, dan jika gigi sikat itu bengkok, ia amat mudah melukakan kucing.
Bagaimana dengan kucing bulu panjang?
Bagi kucing berbulu panjang, sikat bergigi besi, sederhana padat atau kasar. Ada juga yang menggunakan berus yang mempunyai rerambut dihujungnya, tetapi sikat ini hanya dapat memberus bahagian atas bulu kucing dan membiarkan bulu yang berselirat di bawah. Sikat besi yang lebih kasar juga diperlukan jika kucing anda mempunyai lapisan yag lebih panjang, terutamanya jika terdapat banyak bulu gugur yang terperangkap.
Satu cara untuk menenangkan kucing semasa menyikat adalah dengan memilih satu kawasan badannya untuk disikat, dan hanya sikat 1 kawasan sahaja untuk sehari, atau beberapa hari. Perlu juga diingat bahawa kucing yang cukup bertoleransi dengan sesi menyikat juga ada hadnya, dan anda perlulah berhenti dan menyambungnya semula pada keesokan hari pula.
No comments:
Post a Comment