Pages

Friday

Kucing Original?


Kebanyakan kucing yang tinggal di rumah bukanlah dari baka pedigree. Kucing pedigree membawa maksud ianya dari keturunan atau baka yang mempunyai rekod, atau salasilah yang jelas. Misalnya kucing SiamBali,ParsiBengalMaine Coon dan Norwegian Forest Cat.
Sesetengah dari kita agak salah faham mengenai perkara ini, ada yang berkata dia mempunyai kucing Parsi dan dibeli di sekian-sekian kedai tetapi apabila ditanya tentang sijil, dia tidak mempunyainya. Kucing pedigree, termasuk kucing Parsi original, mempunyai sijil dari CFA atau TICA yang mengesahkan bahawa dirinya adalah dari baka kucing Parsi.
Memiliki bentuk muka besar dan ke dalam, berbulu tebal panjang tidak beerti kucing itu adalah kucing Parsi, yang mengesahkannya adalah sijil dan hanya boleh diperolehi dari breeder yang bertauliah sahaja.
Namun begitu, jika kucing itu bukan kucing Parsi sebenar sekalipun, tidaklah membawa maksud ianya perlu dijauhi, kerana kucing tetap kucing, samada bersijil atau tidak.

Saya hanya berkongsi perkara ini kerana mahu mengelakkan diri anda ditipu pula apabila membeli kucing biasa dengan harga RM3,000 kerana menyangka ia adalah Parsi.

Kucing Yang Lain Tidak Original?

Seperti saya katakan tadi, kucing tetap kucing dan jika anda memeliharanya maka tanggungjawab anda ke atas peliharaan anda adalah sama. Kucing biasa ini bermaksud kucing yang tidak berdaftar, sama seperti ibubapanya dan dalam kebanyakan situasi, berasal dari keturunan campuran.
Kucing ini juga dikenali sebagai mix breeddomestic shorthair (DSH) ataudomestic longhair (DLH). Atau nama yang lebih glamer di sini adalah kucing biasa, atau kucing kampung. Jadi, jika kita mempunyai kucing yang kelihatan seperti kucing Parsi, tetapi tidak ada sijil, maka ianya dipanggil DLH.
Saya tidak mahir tentang pedigree, dari segi penjagaan am, tidak banyak bezanya kucing biasa atau pedigree. Mungkin ada juga penjagaan khusus untuk sesetengah baka seperti Sphnyx, dan lain-lainnya tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya tidak mahir mengenainya kerana saya hanya pernah memelihara kucing biasa sahaja.
Atas sebab yang sama juga, tidak banyak kiriman yang berkaitan dengan jenis-jenis baka kucing di blog ini. Jika anda berminat, saya syorkan anda berkunjung ke blog Kittun, anda boleh lihat di blognya mempunyai banyak gambar kucing peliharaan yang cantik-cantik. Saya sendiri pun geram juga tengok kucing Bengal nya itu.

No comments:

Post a Comment