Pages

Friday

<a href="http://phpweby.com/hostgator_coupon.php">hostgator coupons webpage</a>

Menetapkan Peraturan Di Rumah


Bayangkan begini, kita mahu kucing kita bebas bermain di mana sahaja di dalam rumah tetapi bukan di belakang atau di atas TV. Kita mahu dia makan di dalam mangkuk yang disediakan dan tidak mahunya melompat di atas meja makan.
Atau kita mahu kucing bebas bermanja dan bergurau kecuali ketika kita sedang bekerja di hadapan komputer. Perkara sebegini adalah yang dikatakan undang-undang atau peraturan rumah.
Pendapat yang meluas mengatakan kucing kurang mampu mempelajari peraturan rumah. Kepercayaan ini adalah disebabkan kecenderungan kucing yang mahu sesuatu perkara itu mengikut kehendaknya sendiri. Perkara ini adalah benar, tetapi tidaklah benar sepenuhnya.
Kucing adalah binatang yang bijak dan boleh diajar beberapa peraturan dan mungkin juga kemahiran tertentu, jika mereka diajar dengan sabar, konsisten dan bertimbangrasa.

Adalah amat penting jika kita mahu anak kucing mematuhi sesuatu peraturan sehingga ianya dewasa, ia mesti diajar dan dimulakan sejak kecil lagi.
Misalnya kita tidak mahu kucing melompat ke atas meja makan. Ini perlu di ajar semasa kucing itu masih kecil. Cuba elakkan peraturan itu menjadi longgar hanya kerana anak kucing itu kelihatan sangat comel atau kerana kucing itu masih baru di rumah, kemudian menghukumnya pula apabila dia dewasa.
Kucing tidak akan dapat memahami mengapa dia dibenarkan untuk berada di atas meja makan semasa kecil, tetapi dihukum pula atas perlakuan yang sama ketika dewasa.
Sesetengah orang berkongsi katil dan tidur bersama kucingnya. Tetapi bukan semua orang begitu, mungkin anda tidak selesa berkongsi katil kerana kucing anda uka menggigit kaki anda, atau anda mempunyai alahan kecil. Apa sahaja sebabnya, sekadar menutup pintu bilik sahaja mungkin tidak memadai, melainkan kucing itu diajar supaya menjauhi bilik anda dan tidak berteriak apabila pintu ditutup.
Kucing tidak suka pintu yang tertutup. Naluri semulajadinya mendorong mereka untuk menyiasat apa disebalik pintu tersebut, walaupun mereka sudah pun mengetahuinya sebelum ini.
Tetapi seperti mana peraturan-peraturan lain, mengajarnya memerlukan kesabaran, konisisten dan bertimbangrasa. Kucing yang sentiasa dibenarkan berada dalam bilik tidur dan tiba-tiba ditegah akan berkemungkinan besar tidak akan menerima perubahan ini dengan serta-merta (dan mungkin juga memberontak).
Dia mahu bersama anda dan tidak memahami mengapa tiba-tiba tidak dibenarkan berbuat demikian. Dia mungkin menjerit dan berteriak di luar pintu, mencakarnya atau cuba menyelitkan kakinya dibawah celah pintu seolah-olah dia dapat mengangkat pintu itu ke atas supaya dapat melaluinya.
Kita boleh meletakkannya di bilik lain tetapi jeritannya mungkin tidak membenarkan anda untuk tidur dengan nyenyak. Ini adalah contoh mengapa kita perlu tetapkan dahulu peraturan yang perlu dipatuhi oleh kucing sebelum kita memeliharanya.

Kucing Garang

Saya rasakan anda tidak seharusnya lupa bahawa kombinasi ketangkasan, kebolehan memanjat, gigi serta kuku yang tajam dan kedegilan ini membuatkan mana-mana manusia tidak mahu kucing yang jinak bertukar menjadi liar. Saya bukanlah mahu menimbulkan ketakutan,hanya sekadar mahu menekankan beberapa perkara.

Hanya jika anda berasa sangat kompeten dan layak mengendalikan kucing yang berpotensi ganas, jangan sekali-kali memaksa kucing anda melakukan sesuatu melalui kekerasan. Kaedah terbaik berhadapan dengan kucing yang mengganas secara luarbiasa adalah membiarkannya sendirian. Jangan cuba mengongkong atau menghukumnya. Tinggalkan bilik itu atau biarkan ia beredar ke tempat lain untuk menenangkan diri.

Jika anda mendapati sedang berhadapan dengan kucing yang mengganas dan menyerang, carilah bantuan dari veterinari. Kadangkala kucing juga akan mengamuk, tanpa ada sebarang sebab yang jelas. Namun kes sebegini adalah amat-amat jarang berlaku. Jika ada, kebanyakannya adalah sebab kesihatan yang serius seperti kerumitan bahagian otak, saraf ataupun trauma.
Anda perlu melakukan sedikit penyiasatan ala James Bond untuk mengetahui punca mengapa kucing anda menggigit atau mencakar anda. Sikap agresif ini datang dari pelbagai punca, dan kaedah penyelesaiannya juga bergantung kepada punca tersebut. Berikut adalah beberapa punca biasa kucing anda mengganas.

Takut atau Sakit


Jika kucing anda menyerang kerana dia ketakutan atau menderita kecederaan, cara terbaik adalah berikan ruang dan tinggalkan kucing anda bersendirian seketika dan melihat semula asas-asas masalah ini. Kucing yang kesakitan atau ketakutan akan meletakkan telinganya pada kedudukan mendatar rapat ke kepala dan terarah belakang. Badannya juga akan berada dalam keadaan defensif dimana dia mendatar dan rapat ke tanah, kukunya akan terkeluar dalam keadaan bersedia untuk menerkam pada bila-bila masa, jika terpaksa. Jika kucing anda berada dalam posisi ini, dia sedang berkata kepada anda, "Jangan rapat dengan aku!" Anda perlu membiarkan kucing anda tenang dahulu, elok juga anda menyorok atau keluar dari bilik, sebelum meminta bantuan veterinar. 

Kebiasaannya juga, carrier atau pengangkut yang sebelum ini dibenci oleh kucing anda akan kelihatan seperti tempat yang selesa baginya. Letakkan pengangkut itu dengan pintunya terbuka luas di dalam bilik di mana kucing anda berada. Jarakkan diri anda daripadanya,menyorok atau keluar dari bilik. Kucing anda akan memilih untuk pergi dan masuk ke dalam pengangkut tersebut atas kehendaknya sendiri. Ini akan menjimatkan masa dan tenaga anda berbanding anda memaksa kucing anda untuk masuk ke dalam pengangkut untuk di bawa ke veterinari. Jangan berlawan dengan kucing anda, anda akan kalah.


Lebihan rangsangan | Overstimulation


Anda sedang membelai kucing anda dan tiba-tiba dia mencengkam anda dengan gigi dan kukunya. Bukanlah suatu serangan penuh tapi anda tetap dapat merasa 'nikmat' ketajaman giginya pada bahagian tangan anda. Apa yang perlu anda buat? Cara mudah adalah jangan bergerak. Jangan menentangnya atau anda akan mendorongnya untuk melakukan gigitan sebenar. Kadangkala jika anda menggunakan tangan anda yang lagi satu untuk menghentak pada permukaan keras seperti meja atau lantai akan membuatnya terkejut dan melepaskan cengkamannya. Namun jika anda berdiam diri, kebiasaannya dia akan bertenang dan melepaskan anda.

Itu adalah antara penyelesaian jika anda mengalami fasa serangan. Pilihan yang lebih baik adalah anda sendiri perlu membiasakan diri dengan kucing anda dan memahami bahasa tubuhnya, dan menghentikan belaian atau usapan sebelum dia mengalami lebihan rangsangan. Pencinta kucing selalu mengatakan bahawa serangan sebegitu datang tanpa amaran, namun fakta sebenar adalah mereka terlepas pandang beberapa tanda yang menunjukkan kucing tersebut sudah 'tak tahan' atau 'tak dapat terima' belaian anda. Tanda paling jelas adalah pada ekornya. Jika kucing anda mula menyentak-nyentak ekornya dengan keras, maka ini menunjukkan sudah tiba masanya anda menghentikan usapan. Kami akan cuba pergi lebih mendalam berkenaan tanda-tanda ini di masa akan datang. Anda boleh secara sedikit demi sedikit membina masa belaian kucing anda. 3 kali usap, kemudian 4 dan kemudian 5. Jangan berlebihan, toleransi kucing anda akan dapat di bina dari masa ke semasa.

Perhatian!
Kebiasannya juga serangan 'aku dah tak tahan!' ini datang kerana anda mengusap bahagian perut kucing. Bahagian ini adalah sensitif terhadap kucing dan walaupun ia kelihatan seakan bergulingkan badan menawarkannya kepada anda adalah lebih baik anda mengusapnya di bahagian lain. Salah satu sebabnya adalah naluri dan fitrah seksualnya. Kucing jantan anda akan didatangi rasa ghairah jika perutnya diusap dan akan bertindakbalas dengan mengigit kerana itu adalah reaksi semulajadifeline bila melibatkan perilaku mengawan.

Permainan Agresif | Aggresive Playing


Adalah perkara biasa kucing menggigit dan mencakar ketika bermain. Memanglah sakit, tapi kucing yang menggigit kaki anda dan kemudian mengiringkan badannya pada dinding bukanlah mahu mencederakan anda, dia hanya mahu bermain dengan anda. Anda perlu menambah sessi bermain anda dengan menyediakan alat permainan yang sesuai seperti joran kucing (cat pole) atau mainan yang diikat pada tali, dan bukannya dengan bahagian tubuh badan anda, untuk membantu kucing anda membakar lebihan tenaganya sebelum anda mencuba sessi belaian atau pettingdengan tenang. Biar kucing anda tahu bahawa serangan ke atas bahagian badan anda itu adalah dilarang dengan membunyikan hon udara (air horn) atau sedikit semburan air yang halus. Jangan memukul kucing anda sama sekali.

Tempias Agresif | Redirect Aggresive


Maaf la, saya tidak tahu bagaimana untuk menterjemah istilah ini. Istilah asalnya adalah redirect aggresive, yang terlintas dalam fikiran saya adalah perkataan 'tempias', kerana itulah yang berlaku dalam situasi ini. Kucing anda terlihat kucing lain, penceroboh, melalui tingkap rumah anda. Dia tidak dapat keluar dan sangat marah, kebetulan anda lalu berdekatannya dan dia menyerang anda. Kenapa? Anda hanyalah mangsa situasi tempias agresif. Pernahkah anda marahkan seseorang di pejabat, kemudian balik ke rumah dan anda menghempas pinggan atau barang-barang anda ke lantai? Pinggan itu tidak bersalah, tapi anda lepaskan kemarahan anda pada pinggan. Situasi sama berlaku pada kucing, dan ini agak sukar untuk diatasi. Cuba halau kucing lain dari mendekati rumah anda, hentakkan tangan anda pada tingkap atau bunyikan hon udara. Ingat, jangan gunakan kekerasan fizikal untuk menghalau kucing lain!

Kucing Original?


Kebanyakan kucing yang tinggal di rumah bukanlah dari baka pedigree. Kucing pedigree membawa maksud ianya dari keturunan atau baka yang mempunyai rekod, atau salasilah yang jelas. Misalnya kucing SiamBali,ParsiBengalMaine Coon dan Norwegian Forest Cat.
Sesetengah dari kita agak salah faham mengenai perkara ini, ada yang berkata dia mempunyai kucing Parsi dan dibeli di sekian-sekian kedai tetapi apabila ditanya tentang sijil, dia tidak mempunyainya. Kucing pedigree, termasuk kucing Parsi original, mempunyai sijil dari CFA atau TICA yang mengesahkan bahawa dirinya adalah dari baka kucing Parsi.
Memiliki bentuk muka besar dan ke dalam, berbulu tebal panjang tidak beerti kucing itu adalah kucing Parsi, yang mengesahkannya adalah sijil dan hanya boleh diperolehi dari breeder yang bertauliah sahaja.
Namun begitu, jika kucing itu bukan kucing Parsi sebenar sekalipun, tidaklah membawa maksud ianya perlu dijauhi, kerana kucing tetap kucing, samada bersijil atau tidak.

Saya hanya berkongsi perkara ini kerana mahu mengelakkan diri anda ditipu pula apabila membeli kucing biasa dengan harga RM3,000 kerana menyangka ia adalah Parsi.

Kucing Yang Lain Tidak Original?

Seperti saya katakan tadi, kucing tetap kucing dan jika anda memeliharanya maka tanggungjawab anda ke atas peliharaan anda adalah sama. Kucing biasa ini bermaksud kucing yang tidak berdaftar, sama seperti ibubapanya dan dalam kebanyakan situasi, berasal dari keturunan campuran.
Kucing ini juga dikenali sebagai mix breeddomestic shorthair (DSH) ataudomestic longhair (DLH). Atau nama yang lebih glamer di sini adalah kucing biasa, atau kucing kampung. Jadi, jika kita mempunyai kucing yang kelihatan seperti kucing Parsi, tetapi tidak ada sijil, maka ianya dipanggil DLH.
Saya tidak mahir tentang pedigree, dari segi penjagaan am, tidak banyak bezanya kucing biasa atau pedigree. Mungkin ada juga penjagaan khusus untuk sesetengah baka seperti Sphnyx, dan lain-lainnya tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya tidak mahir mengenainya kerana saya hanya pernah memelihara kucing biasa sahaja.
Atas sebab yang sama juga, tidak banyak kiriman yang berkaitan dengan jenis-jenis baka kucing di blog ini. Jika anda berminat, saya syorkan anda berkunjung ke blog Kittun, anda boleh lihat di blognya mempunyai banyak gambar kucing peliharaan yang cantik-cantik. Saya sendiri pun geram juga tengok kucing Bengal nya itu.

Susah Jugak nak Training Kan Kucing Ni

Bolehkah kita mengajar kucing beberapa kemahiran atau arahan tertentu? Ada orang mengatakan keupayaan anjing untuk mempelajari dan mematuhi beberapa arahan atau melakukan helah tertentu adalah bukti anjing lebih bijak daripada kucing. Ada juga yang mengatakan ini sebenarnya menunjukkan kucing yang sebenarnya lebih 'bijak' berbanding anjing kerana tidak mahu membodoh-bodohkan dirinya menggulingkan badan atau melompat jika disuruh.

Kita tidak akan berdebat dengan perkara siapa lebih bijak, saya sendiri tidak berminat untuk berdebat dengan perkara yang saya anggap agak sia-sia ini. Apa yang penting adalah anda perlu memahami bahawa kucing dan anjing berbeza pendekatannya bagaimana mereka berhubung dan berkomunikasi dengan manusia. Anjing telah dibina untuk menjadi sebahagian dariapa struktur keluarga, iaitu untuk menggalas tugas tertentu. Anjing berkelakuan begitu kerana moyangnya, iaitu serigala juga berkelakuan begitu. Survival mereka bergantung kepada keluarga atau kawanan (pack).

Kucing pula datang dari tempat yang berbeza, iaitu pemburu tunggal yang tidak memerlukan pasukan untuk meneruskan kehidupan. Zaman sekarang cakap, ala-ala lone-ranger lah. 

Secara mudahnya, boleh dikatakan anjing perlu berada dengan manusia, manakala kucing memilih samada untuk berada atau tidak dengan manusia.

Disebabkan perbezaan ini, anda sama sekali tidak boleh membuatkan kucing anda melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Sesuatu perlu diberikan kepada mereka. Jika melatih kemahiran, biasanya ganjarannya adalah makanan, namun ada juga sesetengah kucing yang sedia menerima upah mainan atau belaian. Ajarkan kucing anda perkaitan antara perkataan, seperti 'duduk' dan kemudiannya diikuti perlakuan memberinya ganjaran atau pujian.

Sebilangan pakar pelatih kucing menganjurkan supaya kita mengajar arahan 'duduk' itu pada kucing yang lapar dalam bilik yang aman dan sunyi. Buatkan kucing anda berdiri dengan menyentuhnya pada bahagian ekor dan pegang makanan pada kedudukan tinggi sedikit daripada kepalanya. Sebutkan namanya dan berikan arahan 'duduk'. Secara perlahan-lahan, gerakkan makanan itu ke arah di antara kedua telinganya tapi jangan sampai terlalu rendah hingga dia boleh mencapainya dengan kaki hadapannya. Akhirnya dia akan duduk, dan jika dia buat begitu anda berikan pujian dan makanan tersebut.Latih ia dalam sessi yang pendek dan anda perlu bersabar. Kucing anda akan dapat memahami arahan tersebut.

Bunyi macam gila? Saya mendapat tips ini daripada pakar pelatih (yang saya dah lupa namanya).Dari blog alamkucing.blogspot.com

Selamat Mencuba.

Maine Coon

Tidak dapat dipastikan dari mana asal-usul kucing Maine Coon ini. Apa yang diketahui adalah kucing ini adalah satu-satunya breed jenis long-haired yang hidup di Utara Amerika secara native. Kucing ini mula dikenali di Maine dimana mereka disayangi kerana kebolehannya untuk mengawal populasi tikus.

Kini Maine Coon dikenali dengan saiznya yang besar, perwatakan santai dan penampilan yang tampak kasar. Juga dikenali sebagai gentle giant dalam keluarga kucing, adalah tidak asing untuk bertemu dengan kucing Maine Coon yang bersaiz besar berbanding kucing biasa. Kucing ini dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam cuaca yang sejuk.

Maine Coon mempunyai susuk yang bersegi empat dan panjang, tulangnya besar dan penampilan keseluruhannya tegap kelihatan seperti pemburu yang hebat. Maine Coon juga mempunyai mata oval yang besar, telinga dan kaki berjumbai serta ekor panjang beralun.

Kucing Maine Coon sentiasa diminati kerana kecantikan dan ciri-ciri nyata seperti coat yang panjang selembut sutera namun kelihatan kasar. Bulunya lebih pendek di bahagian bahu dan panjang pada perut dan ekor. Bulunya kalis air dan mudah untuk disikat. Satu lagi ciri yang sangat menarik adalah kucing ini dilihat begitu sukakan air. Tidak memeranjatkan jika anda melihat mereka membantu pemilik mereka mengisi air mandi dalam tub atau melihat mereka merendam makanan mereka dalam air dan bermain-main dengannya.

Maine Coon sangat dikenali dengan sikapnya yang penyayang, kecenderungan untuk berkawan dan kebijaksaannya. Mereka dapat belajar bermain fetch dan dapat menyesuaikan diri berjalan dengan tali kekang tanpa memberi kesusahan pada pemiliknya. Breed yang menyerikan ini menjadi popular kepada mereka yang mahukan teman dalam hidup mereka. Pemilik Maine Coon menghargai keupayaannya menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan menjadikan mereka sangat versatil.

Maine Coon boleh dijumpai dalam beberapa warna dan corak termasuk solidtabbybicolor,tortoiseshellstabby-tortoise,smoke dan shaded. Yang paling umum dan dikenali adalah warnabrown-classic-tabby. Matanya besar berbentuk oval dan warnanya berbeza samada hijau, keemasan atau biru. Maine Coon agak lambat untuk matang dan memerlukan antara 3-4 tahun untuk mencapai saiz penuh sebenar.Saya sebenarnya tidak mempunyai kucing baka ini,cuma membela kucing kampung info ni pun dapat dari orang lain.Haha

Personaliti Kucing

Mata yang cerah bersinar, bulu yang lembut berkilat dan sikap waspada adalah antara tanda menunjukkan kucing anda sihat. Kucing yang sihat juga mempunyai selera makan yang baik, sentiasa membersihkan diri dan interaksi baik dengan pemiliknya. 

Salah satu faktor dalam aspek kesihatan, yang sering dilupakan adalah personaliti. Kita boleh menjangka sesuatu terhadap personaliti kucing walaupun ketika dia masih kecil. Jika anda baru membuat keputusan untuk memelihara kucing, anda boleh menguji bagaimana personaliti kucing itu. Pegang kucing dan letakkan dalam dakapan anda dan lihat samada kucing itu berada dalam keadaan tenang atau tertekan.

Dukungnya seperti bayi pula, dengan bahagian perut menghala ke atas, dan lihat sekali lagi bagaimana reaksinya. Jika anda mencari kucing yang manja, dan kucing yang anda uji ini tidak membenarkan anda memegangnya lebih dari satu saat, mungkin anda patut mengubah pilihan kucing lain atau merancang untuk melatihnya dan mendapat kepercayaan dari kucing tersebut. Atau mungkin melatihnya agar lebih dia menjadi lebih tenang.

Pada umur 2 hingga 7 minggu adalah waktu kritikal yang menentukan sejauhmana tahap sosial kucing tersebut. Kucing yang dikendalikan oleh ramai orang dan berinteraksi dengan kucing lain atau binatang lain lebih cenderung untuk menyesuaikan diri dengan lebih baik ketika dewasa. Tanyakan pemiliknya dahulu pengalaman kucing itu semasa muda sebelum anda mengambil kucing itu untuk dipelihara.

Ujian seterusnya adalah dengan memegang telinganya, buka mulutnya dengan lembut dan sentuh kakinya. Sekali lagi,lihat samada kucing itu bersedia membenarkan anda memegangnya. Jika ya, secara umumnya kucing itu mempercayai anda. Jika anda meletaknya ke bawah dan beredar darinya, adakah kucing itu menunjukkan rasa minat terhadap anda? Adakah dia mengekori anda? Walaupun tiada bukti saintifik, saya seakan percaya juga bahawa ada sedikit ikatan misteri antara sesetengah kucing dengan sesetengah orang.

Adakah kucing itu waspada, bertindakbalas dan suka bermain? Anda boleh mengujinya dengan melemparkan mainan yang mudah, seperti gumpalan kertas seakan bola. Kesemua ujian mudah ini akan memberikan anda sedikit gambaran tentang bagaimana personaliti seseekor kucing. Walaupun dengan anak kucing yang sihat, kos jagaan kesihatannya adalah tinggi sedikit berbanding kucing dewasa kerana mereka lebih terdedah kepada penyakit. Mereka juga memerlukan rutin kesihatan yang lebih banyak pada umur muda, termasuklah vaksinasi, ujian viral dan neuter atau spay.